METODOLOGI
1.0 Permulaan
Proses mencari teks sumber kebanyakannya dilakukan pada laman web Mangafox. Kumpulan kami cuba mencari manga yang pendek agar dapat dirakam dalam video yang berlangsung selama 10 minit. Kami cuba mencari manga "one shot" agar kami dapat menjimatkan masa daripada memperkenalkan karakter baru kepada penonton sasaran. Kami juga cuba mencari manga yang bergenre "shoujo" kerana kebanyakan penonton sasaran merupakan kaum hawa dan genre "shoujo" lebih mudah difahami disebabkan plotnya yang lebih mudah. Walau bagaimanapun, kami juga mengutamakan elemen jenaka dan plot yang menarik agar penonton tidak berasa bosan. Malangnya, kebanyakan manga "shoujo" berbentuk "one shot" sangat panjang; (sekurang-kurangnya 40 m/s). Pilihan pertama kami merupakan manga Ookami Lover, namun manga ini terpaksa ditolak kerana mengandungi 43 muka surat.
Oleh itu, setelah berbincang kami bersetuju untuk mengalih suara manga GinTama yang hanya mengandungi 19 muka surat. Gintama mempunyai plot yang menarik di samping mengandungi jenaka. Permasalahan tentang pemilihan manga ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam bahagian Strategi.
2.0 Persediaan
Kami diberikan masa untuk menterjemah bahagian masing-masing dan pada hari perjumpaan, kami berbincang tentang kesesuaian dialog yang diterjemah dengan domain, sosiobudaya karakter dan skopos terjemahan bersama-sama. Dropbox memainkan peranan yang penting dalam memudahkan pemindahan dan perkongsian sebarang dokumen dalam kalangan ahli kumpulan kami.
Kami banyak menggunakan enjin carian Google dan laman web Wikipedia untuk lebih memahami lingkungan sosiobudaya dan latar masa manga Gintama agar mesej asal dapat disampaikan dengan cara bersahaja untuk membantu pemahaman penonton sasaran. Kami juga menonton video anime Gintama untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mengenai bab 33 dalam manga ini. Episod 20 ini boleh ditonton di CrunchyRoll.
Terdapat sedikit masalah dalam membahagikan watak-watak dengan empunya suara, hal yang dititik beratkan adalah tona suara dan mimik suara yang dihasilkan dengan kesesuaian karakter yang rata-ratanya merupakan karakter lelaki kerana Gintama merupakan manga bergenre "shounen". Latihan suara ataupun voice practice memainkan peranan yang penting dalam hal ini.
Setiap panel manga disunting dengan perisian Picasa kerana kami merancang untuk membuat video yang khas memfokuskan pembaca kepada dialog dalam panel berkenaan kerana manga ini mempunyai dialog yang sangat banyak bagi satu-satu panel. Kami merakam suara menggunakan aplikasi iPhone sambil merujuk pada skrip agar tidak tersalah terjemah pandang di sambil merujuk kepada setiap panel manga agar tona suara yang dihasilkan bersesuaian dengan situasi dalam manga. Kami merakam suara bagi satu teks terjemah pandang pada satu-satu masa agar sebarang kesilapan yang dilakukan dapat disunting dengan kemas. Bagi menghasilkan video yang lebih menarik dan difahami penonton sasaran, kami mencari suara latar dan runut bunyi daripada platform Youtube menggunakan perisian AnyVideoConverter untuk menukar format video kepada format mp3 agar mudah disunting masuk ke dalam video.
3.0 Pelaksanaan
Setelah rakaman selesai dilakukan, proses membuat video dilakukan menggunakan perisian Wondershare dengan bantuan aplikasi tambahan yang terdapat dalam perisian ini. Video dihasilkan dengan menitik beratkan ketepatan masa dari segi kemasukan dialog, kesan bunyi dan penjagaan masa bagi gambar (panel) yang dimuat naik. Video selama 14 minit ini dihasilkan mengikut setiap muka surat agar setiap penghasilan video yang dilakukan dapat disunting dengan menitik beratkan ketepatan masa. Suara latar juga disunting dari segi "fade in" dan "fade out" agar tidak kedengaran tergesa-gesa atau pun muncul secara tiba-tiba walaupun terdapat beberapa kesan bunyi yang disengajakan muncul secara tiba-tiba untuk mengejutkan para penonton sasaran. Cabaran utama dalam menyunting video terletak pada ketepatan masa yang perlu ditepati dan diambil kira akan keselesaan penonton yang membaca sambil mendengar terjemahan pandang yang dilakukan.





No comments:
Post a Comment